Friday, September 11, 2015

Siasat individu 
bocor prosiding PAC

Pihak berkuasa perlu menyiasat individu yang membocorkan transkrip prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika apa yang dikhuatiri oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengenai kebocoran maklumat adalah berasas.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada masa yang sama juga akan mengambil tindakan ke atas The Wall Street Journal (WSJ) sekiranya portal berkenaan disahkan menghasilkan laporan tidak sahih.



‘‘Kita kena siasat orang yang mengeluarkan maklumat tersebut kerana tindakan seperti ini adalah tidak adil khususnya kepada kerajaan dan 1MDB,’’ katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan Malaysia Cyber Games di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan 1MDB mengenai kemungkinan ada pihak yang membocorkan transkrip prosiding PAC.
Syarikat itu pada masa yang sama telah menyangkal laporan WSJ berhubung urusan pembayaran AS$1.4 bilion yang dikait dengannya.
WSJ sebelum ini melaporkan pihak Emiriyah Arab Bersatu mempersoalkan kedudukan sejumlah dana bernilai AS$1.4 bilion dalam 1MDB.
Dalam perkembangan lain, Salleh berkata, SKMM bersedia menyekat laman-laman web yang mempromosi himpunan baju merah di ibu negara pada 16 September ini jika perhimpunan itu disahkan haram oleh polis.
Beliau menjelaskan, SKMM pada masa ini belum menyekat laman web berkenaan memandangkan pihak penganjur itu berniat menukar lokasi perhimpunan ke tempat lain.
‘‘Mereka pada peringkat awal mengumumkan akan berhimpun di Bukit Bintang tetapi saya juga dimaklumkan mereka akan bertukar ke tempat lain dan sedang berurusan dengan polis untuk tentukan tempat perhimpunan,’’ katanya.
‘‘Kita ada dasar yang sama seperti dalam berurusan tentang perhimpunan Bersih 4.0. Jika perhimpunan baju merah tidak sah, kita akan ambil tindakan,’’ katanya.
Menurutnya, pihak kementerian juga menyedari kemunculan bahan promosi perhimpunan yang berbaur hasutan dan bersedia mengambil tindakan yang sewajarnya.
‘‘Kita sudah ada maklumat mengenai poster berkenaan, kita akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Tanggungjawab kita ialah menjaga keselamatan negara,’’ katanya.

Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 

blogger news

.

Blogroll

About

.