Monday, October 12, 2015

MENYEMAK DAN MENAIKKAN HARGA TOL, KENAPA?

DARI semasa ke semasa semakan bagi kenaikan harga tol dilakukan kerajaan. Soalnya mengapa perlu disemak dan apakah yang akan berlaku sekiranya kerajaan tidak menyemak dan menaikkan harga tol dalam sela masa yang ditetapkan?
Sewaktu kerajaan menganugerahkan konsesi sesebuah lebuhraya kepada syarikat konsesi, terdapat beberapa perkara yang dibincangkan oleh wakil Majlis Ekonomi dengan syarikat konsesi.
Pertama, mengenai tempoh konsesi iaitu tempoh yang diberi oleh kerajaan kepada syarikat untuk mengutip dan menyelenggara lebuh raya. Kedua, kadar tol yang dikenakan adalah  kadar tol yang dipersetujui perlulah mengambil kira pertumbuhan pengguna lebuh raya dan juga tempoh konsesi.
Kadar tol juga perlu mengambil kira kadar keuntungan yang sesuai dengan tempoh dan risiko yang telah diambil oleh pihak syarikat konsesi. Pihak syarikat perlu memberi sebab yang kukuh untuk meletakkan kadar tersebut kepada pihak Majlis Ekonomi supaya ia tidak mengaut keuntungan yang banyak dan menindas pengguna.
Untuk sebuah syarikat swasta menerima sesebuah projek, ia harus memastikan pulangan yang bakal diterimanya setimpal dengan risiko yang perlu diambil. Antara risiko yang perlu dihadapi oleh mereka adalah risiko pembinaan, pertumbuhan pengguna lebuh raya, kenaikan kadar faedah, force majeure dan lain-lain.
Dalam pengiraan kadar pulangan yang sesuai, carta aliran tunai yang disediakan oleh pihak syarikat dalam siri rundingan dengan Majlis Ekonomi telah mengambil kira kenaikan kadar tol yang sesuai serta dikira tidak membebankan para pengguna dan akan disemak mengikut sela masa yang telah ditentukan.
Semasa proses semakan dijalankan, wakil Majlis Ekonomi akan meminta pihak syarikat konsesi untuk menyediakan laporan terkini dan proposal yang munasabah untuk menaikkan kadar tol. Laporan tersebut perlulah disertakan sekali dengan kajian trafik di lebuh raya berkenaan.
Sekiranya laporan tersebut munasabah dengan kadar kenaikan yang diminta, pihak kerajaan perlu mengumumkan kenaikan kadar tol tersebut. Walaupun pihak kerajaan mengumumkan kenaikan kadar tol, pihak kerajaan tidak mendapat apa-apa faedah dari kenaikan tol tersebut kecuali kutipan cukai syarikat yang dibayar oleh pemilik konsesi tersebut sahaja.
Sekiranya kerajaan mengabaikan perjanjian tersebut dan tidak membenarkan kenaikan kadar tol, maka pihak kerajaan akan berdepan dengan situasi di mana ia boleh disaman oleh syarikat kerana tidak menepati perjanjian yang telah dimeterai. Keyakinan pelabur juga akan berkurangan kerana ia memperlihatkan kerajaan sebagai sebuah entiti yang paling berkuasa di negara tidak mengotakan janjinya dengan pihak syarikat konsesi.
Selain itu, sekiranya kerajaan tidak membenarkan kenaikan kadar tol, terdapat juga situasi yang kita lihat kerap terjadi di mana pihak kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi dengan bayaran tunai atau memanjangkan lagi tempoh konsesi atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 

blogger news

.

Blogroll

About

.