Tuesday, October 27, 2015

Pembukaan Kellogg Malaysia Beri Impak Pulangan Ekonomi Kepada Negara


BANDAR ENSTEK, 27 OKT – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan kilang Kellogg Malaysia yang bernilai RM556 juta bertempat di Bandar Enstek, Nilai, hari ini.
Pembukaan kilang Kellogg Malaysia yang mengeluarkan snek Pringles ini mensasarkan pengeluaran di Asia Tenggara dan pasaran eksport ke Asia Pasifik, menjadikan ia sebagai hab pengeluar produk snek bersijil halal yang utama di peringkat global. Status halal ini diyakini akan memperkukuhkan lagi penerimaan pembeli di pasaran Asia Pasifik.
Pemilihan Malaysia di Bandar Enstek ini dilakukan selepas syarikat berjenama antarabangsa itu meneliti beberapa negara yang berpotensi untuk dijadikan hab pengeluar snek Pringles.
Menurut Menteri Besar, sebarang bentuk pelaburan yang datang akan memberi impak kepada ekonomi negara dan negeri terutamanya dalam aspek peluang pekerjaan. Apabila produk ini dieksport ke luar negara, ia memberi pulangan ekonomi dalam bentuk pulangan wang asing kerana Kellogg menjual barangannya dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
“Kami berasa bangga kerana Kellogg sebuah syarikat multinational yang mempunyai jenama bertaraf dunia memilih melabur di sini.
“Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pelaburan antarabangsa untuk datang ke negeri ini dan akan memberikan kerjasama yang baik untuk memastikan pembinaan kilang mereka menjadi realiti,” ujar Mohamad.
Menurut Presiden Asia Pasifik Kellogg Malaysia, Amit Banati sejak kilang ini beroperasi pada awal tahun ini, dua produk berperisa asli iaitu Original dan Sour Cream & Onion telah dieksport ke negara Hong Kong, Jepun dan Taiwan. Maklum balas yang baik dan positif telah diterima.
“Pada masa ini kami sedang meningkatkan hasil produk untuk mengeksport snek Pringles yang dihasilkan di kilang Bandar Enstek ini ke negara jiran berdekatan,” ujarnya.
Katanya lagi, pasaran snek ini amat penting di Asia Pasifik. Malah tindakan membuka kilang di Enstek adalah satu pelaburan yang berbaloi dalam usaha memastikan syarikat ini menjadi penyumbang utama dan kesediaan berhadapan permintaan yang dijangka tinggi di rantau ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr Awaludin Said; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hasim Rusdi dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban dan Nilai, Datuk Abd Halim Abd Latif.
www.n9kini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 

blogger news

.

Blogroll

About

.