Monday, October 12, 2015

‘SITUASI MENANG-MENANG’ DALAM KENAIKAN HARGA TOL


Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kenaikan harga tol yang bakal berkuatkuasa pada 15 Oktober 2015, berbagai-bagai persepsi dan tohmahan negatif yang diterima. Mereka kata minyak naik, tol pun nak naik dan paling tidak enak, pertanyaan ‘pedih’ tak cukup lagikah wang GST?
Sementelah ada yang mengutuk keras pengundi kerajaan Barisan Nasional dengan menyelar mereka bodoh kerana mengundi kerajaan.
Soalnya, adakah sekiranya parti Pakatan Rakyat atau pihak pembangkang menjadi kerajaan boleh menjamin mereka tidak akan menaikkan harga tol, minyak dan mengenakan cukai GST?
Tidak terfikirkah kita berkemungkinan berada di bawah kerajaan yang dinaungi parti pembangkang keadaan menjadi lebih teruk lagi, apatah lagi dengan ketiadaan pengalaman mengemudikan negara?
Masyarakat perlu memahami konsep perjanjian konsesi lebuh raya di Malaysia. Hakikatnya, lebuh raya di Malaysia adalah nadi yang menghubungkan kehidupan. Malah terdapat 31 lebuh raya dibina sehingga kini sejak negara mengecapi kemerdekaan. Sebagaimana yang kita maklum bahawa hampir 90 peratus lebuh raya di Malaysia dimiliki oleh syarikat swasta dan GLC.
Kerajaan telah menganugerahkan konsesi dengan hak eksklusif kepada mereka untuk membina, mengendali dan menyelenggara lebuh raya bagi tempoh konsesi yang dipersetujui. Ini adalah salah satu bentuk Public-Private Partnership yang dipelopori oleh pihak kerajaan sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.
Perkara ini dilakukan kerana terdapat kekangan dalam isu perbendaharaan negara apalagi pembinaan infrastruktur menelan perbelanjaan yang besar. Memandangkan kerajaan mempunyai tanggungjawab membiayai dan membina kemudahan insfrastruktur maka ia perlu melantik pihak swasta melaksanakan pembinaan jalan raya atau lebuh raya dengan terma syarat konsesi yang dipersetujui.
Malaysia, seperti kebanyakan negara lain di dunia perlu mengimbangi perbelanjaan perbendaharaan negara mengikut keperluan seperti pembangunan infrastruktur dengan keperluan asas lain seperti subsidi kesihatan dan pendidikan.
Walaupun pembangunan infrastruktur mempunyai kesan positif ke atas ekonomi negara, adalah tidak efisien bagi kerajaan untuk memberi peruntukan yang besar daripada perbendaharaan negara ke arah penyediaan infrastruktur.
Namun begitu, dana pembangunan projek-projek infrastruktur yang menelan belanja bilion ringgit ini boleh disediakan oleh pihak kerajaan dengan kutipan cukai pada kadar yang lebih tinggi. Tetapi, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh kerajaan kerana sudah pasti kenaikan cukai ini akan mendapat tentangan dari rakyat.
Jadi, majoriti negara di dunia ini telah menyedari bahawa pihak kerajaan secara sendirian tidak akan dapat menyediakan peruntukan yang besar bagi menampung kos projek pembinaan infrastruktur.
Atas dasar itu, kerajaan membuat tawaran kepada sektor swasta untuk membina lebuh raya di Malaysia.
Masalah yang dihadapi oleh sektor awam dan kelebihan yang dimiliki oleh sektor swasta boleh diselesaikan dengan mematerai sebuah perjanjian kerjasama bagi membolehkan sektor swasta dengan segala sumber yang dimilikinya menceburi industri penyediaan infrastruktur di Malaysia.
Pengguna jalan raya di Malaysia merungut apabila menghadapi kesesakan terutamanya pada waktu puncak tetapi apabila tindakan pembaikan dan naik taraf jalan dilakukan untuk mengatasi masalah kesesakan dilakukan, mereka bukan sahaja masih merungut tetapi menuduh kerajaan yang bukan-bukan tanpa memikirkan ia dikendalikan pihak swasta dengan kos yang tinggi.
Dalam usaha menyediakan kemudahan lebuh raya khususnya di kawasan bandar dalam mengelak kesesakan lalu lintas akibat pertambahan bilangan kenderaan yang menggunakan lebuh raya, pelbagai usaha menaik taraf dilakukan dan ia sudah pasti mengeluarkan kos tinggi.
Kutipan tol sedia ada hanya untuk menampung kos pembinaan lebuh raya tidak mencukupi untuk urusan naik taraf serta pengubahsuaian jalan bagi mengatasi kesesakan jalan raya.

Justeru, keselesaan menggunakan lebuh raya dengan kenaikan tol yang sedikit adalah ‘situasi menang-menang’ yang hakikatnya sentiasa kelihatan sukar diterima kenyataannya oleh masyarakat. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 

blogger news

.

Blogroll

About

.