SEREMBAN 3 Sept. - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur petang tadi selepas mengadu kurang sihat.



Pegawai Khasnya, Zulkefli Awang berkata, Menteri Besar sebelum itu mendapatkan rawatan di Negeri Sembilan Chinese Maternity Hospital (NSCMH) di sini dan dinasihatkan agar diberi pemantauan lanjut di IJN.


Bagaimanapun, beliau menafikan khabar angin yang disebarkan di media sosial bahawa Menteri Besar sedang sakit tenat.

“Keadaan Datuk Seri tidak seperti yang dikhabarkan (media sosial). Seperti yang Datuk Seri maklumkan pada perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau (pagi) tadi, beliau tidak sihat dan merasakan mungkin ubat ulser yang diberikan oleh doktor dosnya tinggi. Ini menyebabkan ketidakselesaan di perut,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada media.

Pagi tadi, Mohamad merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi di sini sebelum meninggalkan majlis selepas berucap kira-kira pukul 9.30 pagi. -