Thursday, September 1, 2016

18,000 Sertai Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan


SEREMBAN, 31 OGOS – Kira-kira 18,000 membanjiri padang dan bangunan  MPS dalam Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan kali ke-59 yang berlangsung di Seremban, hari ini.

DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku  Munawir dan  DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku  Aishah  Rohani Almarhum  Tengku  Besar Mahmud berkenan hadir ke majlis sambutan ini diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

Turut hadir, Undang Luak Sungai Ujong, YTM  Dato’  Klana  Petra Dato’  Haji  Mubarak  Dohak; Undang Luak Rembau, YTM Dato’  Lela  Maharaja Dato’  Haji  Muhamad  Sharip  Haji  Othman; Tunku Besar Tampin dan YM Tunku Isteri, YTM Tunku  Syed  Razman  Tunku  Syed  Idrus  Al-Qadri; YTM Tunku Besar Seri Menanti, Tengku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz; Dato’ Syahbandar Sungei Ujong, YAM Dato’  Seri  Utama  Haji  Badarudin  Haji  Abdul Khalid dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Ahmad.

Sebanyak 110 pasukan kontinjen terdiri daripada 13,000 peserta telah menyertai perbarisan yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan berkanun, pasukan beruniform, pelajar-pelajar sekolah, parti-parti politik, NGO, veteran tentera, Institut Pengajian Tinggi Awam, pasukan keselamatan dan syarikat-syarikat swasta.

Selain itu, kontinjen daripada Gabungan Belia dan Gen Y Negeri Sembilan yang disertai seramai 1,300 peserta yang lengkap berpakaian seragam menjadi kontinjen terbesar selain daripada kontinjen Angkatan Tentera Malaysia.

Turut ditampilkan adalah Perarakan Aset daripada Kenderaan Konvoi Jalur Gemilang Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Antara lain, turut dipersembahkan Tarian Perang atau ‘War Dance’ oleh seramai 1,000 anggota yang disertai oleh Gabungan Pasukan Keselamatan Negeri Sembilan iaitu 1 Briged, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Penjara dan Ikatan Relawan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, perhimpunan ini diadakan bagi tujuan menyemai rasa cinta dan kesetiaan kita terhadap negara. Ia bagaikan mengulangi dan memperingati suatu tanggal penting dalam takwim penubuhan negara yang tidak ada tolok bandingnya dengan peristiwa-peristiwa utama yang lain.

Menurut Menteri Besar, semangat yang diperlihatkan ini sekaligus menyimpulkan rasa taat setia, kasih dan cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap negara. Secara tidak langsung menyerlahkan intipati sambutan tahunan ini sepertimana yang dibekalkan melalui tema ‘Sehati Sejiwa’.

Beliau berharap agar semangat patriotisme dan jati diri harus senantiasa subur dan melebar dalam diri rakyat Malaysia ketika berdepan dengan pelbagai ujian getir dan mencabar. Dalam apa jua keadaan, masyarakat harus bersatu hati biarpun kerap kali dibelenggu oleh perbezaan siasah dan ideologi untuk membuktikan kepada dunia bahawasanya Malaysia memiliki cara dan kaedah tersendiri menangani sebarang perbezaan mengikut acuan sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 

blogger news

.

Blogroll

About

.