Saturday, June 4, 2016

Menteri Besar Ulas kenyataan Biadap Pemuda MCA


SEREMBAN, 04 JUN – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad berkata, kenyataan Pemuda MCA mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan jika rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan terhadap hudud diluluskan di parlimen adalah satu kenyataan yang biadap.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan dan Meraikan Konvoi Jelajah Turun Padang Bantu Rakyat bersempena Ramadan 2016 di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.
Terdahulu, Ketua Biro Undang-Undang Pemuda MCA, Ng Kian Nam meminta Najib menyatakan pandangannya dengan jelas sama ada kesemua anggota parlimen UMNO akan menyokong rang undang-undang itu, walaupun terdapat protes kuat anggota komponen BN lain.
Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli UMNO sehingga ada yang mempersoalkan adakah kenyataan Kian Nam itu merupakan pendirian rasmi Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang diberikan jawatan sebagai senator dan menyandang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan II.
“Itu tidak sepatutnya berlaku dan tidak seharusnya diucapkan kerana menyuruh Perdana Menteri meletak jawatan itu satu perkara yang amat berat. Kita kalau tidak suka bos, kita berhentilah!
“Cukuplah kalau kita buat perundingan dan kita perlu fahami rang undang-undang ini terlebih dahulu. Kenapa pula dikaitkan sehingga minta Perdana Menteri meletak jawatan?” Soal beliau.
Katanya lagi, mesti ada satu cara dalam semangat Barisan Nasional untuk menyelesaikan   perkara itu.
“Janganlah kurang ajar sangat. Letak jawatan daripada kabinet dulu, lepas itu nak bercakap sebagai pemimpin parti komponen ke, cakaplah!
“Jangan menjadi dayus menyorok muka membaling batu menyorok tangan lepas itu terhegeh-hegeh lagi memegang jawatan. Nak suruh Perdana Menteri berhenti, awak berhenti dulu tunjukkan awak jantan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia merangkap ketua konvoi, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan merangkap Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek.
 

blogger news

.

Blogroll

About

.