Thursday, March 9, 2017

Pandangan dangkal ADUN Sikamat mahu mengalihkan kegagalan beliau sebagai wakil rakyat

PANDANGAN ADUN Sikamat, Aminuddin Harun yang mewakili PKR adalah suatu pandangan yang amat dangkal. Ternyata beliau tidak mengetahui langsung perkembangan Negeri Sembilan dan secara semberono menuduh itu dan ini.

Apakah kerana terdesak disebabkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir maka tuduhan dan pandangan tak masuk akal kepada Kerajaan Negeri Sembilan di portal Malaysiakini?

Umumnya mengetahui bahawa Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan sentiasa berfikiran jauh terkehadapan. Apatah lagi dalam aspek peluang pekerjaan rakyat, sudah tentu sentiasa menjadi perhatian dan agenda utama kerajaan negeri.

Pada ketika ini terdapat 100,000 belia di Negeri Sembilan dan daripada jumlah tersebut terdapat sejumlah 39,000 belia yang berusia di antara 22 hingga 25 tahun.

Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri telah disusun dengan begitu teratur dan teliti terutamananya Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS) yang menjadi teras kepada dasar-dasar yang lain.

Dasar teras ini juga menjadi tonggak terhadap keutamaan kerajaan negeri dalam mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat termasuklah bagi mengisi keperluan yang terdapat pada golongan belia itu tadi.

Bohong jika kata peluang pekerjaan  kepada anak negori tertutup, sedangkan Negeri Sembilan terus menjadi pilihan pelabur terutama dalam bidang kejuruteraan tinggi, pemakanan, bioteknologi serta pembuatan yang ada hubung kait dengan industri komponen berimpak tinggi.

Antara kawasan pelaburan strategik adalah di kawasan Sendayan, Enstek dekat Nilai, selain Senawang, Seremban dan Port Dickson di mana kemudahan akses jalan raya diperhebatkan serta dipermudahkan untuk tujuan perdagangan.

Sejak tahun 2004 pelaburan baharu dari sektor perkilangan dan pembuatan iaitu industri sahaja mencatatkan lebih RM1 bilion setiap tahun.

Perkembangan itu menyaksikan pertumbuhan ekonomi negeri adalah sihat iaitu melebihi lima peratus setiap tahun, kecuali pada tahun 2007 dan 2008, di mana ketika itu berlaku krisis ekonomi dunia dan ketidakupayaan melepasi angka RM1 bilion berkenaan.

Pada tahun 2011, Negeri Sembilan membangun dengan luar biasa apabila sektor itu sekali lagi membuat lonjakan menerusi pelaburan yang diterima kerajaan negeri sebanyak RM7 bilion. Ini dapat memberikan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor kepada rakyat. Perkembangan dan peningkatan ini berterusan sehingga ke hari ini.

Kilang-kilang berteknologi tinggi tumbuh bak cendawan di negeri yang bertuah ini. Tahun lalu pengeluar enjin kendera¬an, Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd  (DPEM) membuka kilang pengeluaran enjin dan transmisi di Sendayan Techvalley dengan pelaburan berjumlah RM500 juta.

 Perkara yang amat membanggakan ialah apabila kilang ini menawarkan peluang pekerjaan kepada 189 pekerja yang 100 peratus menggunakan tenaga anak tempatan, di mana 80 peratus terdiri daripada anak-anak Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Negeri Sembilan menjadi hab terbesar penghasilan brek karbon kapal terbang melalui pembukaan rasmi kilang berteknologi tinggi, Safran Messier Buggati Dowty Malaysia di Lembah Teknologi Sendayan dengan pelaburan RM500 juta bagi fasa pertama kilang berkenaan. 

Selain itu, banyak lagi industri lain yang bertapak di negeri ini sekaligus memberikkan peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Sembilan.
Pembukaan kilang Coca-Cola di Sendayan, mereka bayar premium yang tinggi dengan nilaian jutaan ringgit.

 Kawasan baharu di Sendayan akan terus dibuka bagi tujuan pelaburan. Daripada wang inilah, kita kembalikan kepada rakyat, membangunkan infrastruktur, melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial dan sebagainya

Sudah tentu kewujudan kilang-kilang industri ini turut disertai dengan manfaat kepada sebahagian daripada 100,000 belia berkelayakan yang  ada di negeri ini.

Antara lain, Negeri Sembilan turut mengecualikan bayaran permit niaga kepada penjaja akan diteruskan sehingga akhir 2017 yang turut memberikan manfaat kepada lebih 10,000 penjaja kecil di Negeri Sembilan.

Bohong juga jika dikatakan Negeri Sembilan mengabaikan keperluan rakyatnya dalam bidang pekerjaan kerana Negeri Sembilan sedang melaksanakan satu rancangan yang mempunyai impak yang besar kepada lanskap Negeri Sembilan sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.

Pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) pembangunan holistik melibatkan keluasan tanah 1,800 ekar (108,000 hektar) dari Nilai, Seremban hingga ke Port Dickson dalam usaha Kerajaan Negeri dengan Persekutuan agar pembangunan menyempit di Lembah Klang dapat diperluaskan ke negeri ini di bawah gugusan Lembah Klang (Greater Klang Valley).

MVV telah bermula pada 2016 dengan jangkamasa pelaksanaannya sehingga tahun 2045. Nilai pembangunan kasar (GDV) projek ini dianggarkan berjumlah RM641 bilion, yang juga akan menyaksikan penambahan sebanyak 3.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Pelaksanaan MVV ini sudah tentu merancakkan lagi pembangunan ekonomi, industri, pelancongan, pendidikan dan sebagainya dan pada masa yang sama bakal memberikan kemajuan yang total dalam bidang pendidikan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini dalam pelbagai sektor termasuklah sektor guna tenaga, perniagaan, kejuruteraan berat dan ringan.

Benarkah Negeri Sembilan tidak dapat bersaing dengan Selangor yang diperintah oleh Pakatan Harapan?  Sudah tentu tidak benar.

Pihak Pakatan Harapan usah bermimpi untuk menakluk Negeri Sembilan yang ternyata sudah berusaha menyediakan pelbagai kelengkapan keperluan dan prasarana kepada seluruh rakyatnya dengan cara yang ‘bijaksana’ sekaligus membentuk negeri yang aman tenteram dan harmoni.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 

blogger news

.

Blogroll

About

.